Monday, December 20, 2010

BETUL-BETUL BENAR

Sepanjang perjalananku pada masa cuti sekolah ini, banyaklah juga masjid dan surau yang ku kunjungi.

Emmmm……….. macam-macam gelagat manusia yang ku lihat di situ… Yang nampak kaya, yang nampak miskin, yang nampak warak, yang nampak kurang warak, yang solat berkepala bogel, yang berkopiah, yang bersongkok, yang berserban besar, yang berserban tok alim, yang solat nampak sempurna, yang solat macam budak darjah 3, yang pakai jubah, yang pakai kain pelikat, yang pakai seluar ketat baju masuk dalam (“masa rukuk nampak punggung macam kuda”, bukan aku yang kata tetapi ‘statement’ seorang guru yang memberi satu kuliah di sebuah masjid ). Selepas solat ada yang terus berlalu, ada yang bersalam memandang wajah kita, ada yang menggenggam tangan kita dengan erat, ada yang bersalam dengan wajah yang manis penuh ukhuwah (entah betul ke ejaan ku ini, maklumlah bukan pandai Arab), ada pula yang bersalam mencuka…..

Itulah yang dapat dilihat dengan mata, tahap mana kualiti ibadat, tiada siapa yang boleh menilai melainkan Allah jua. Manusia menilai daripada yang kelihatan di mata namun keikhlasan itu dilihat Tuhan, kerana itu manusia buta melihat keikhlasan dengan mata. Hanya Tuhan yang Maha Melihat, oleh itu apa yang dilihat kita belum pastinya BENAR dan BETUL.

Condong atau tegak bangunan dinilai oleh mata,
Cantik atau buruk satu lukisan dinilai oleh mata,
Terang atau gelap alam dinilai oleh mata,
Suka atau duka pada wajah dinilai oleh mata,
Kecil atau besar bungkusan dinilai oleh mata,
Kaya atau miskin manusia dinilai oleh mata
Jauh atau dekat jarak dinilai oleh mata,
Tinggi atau rendah gunung dinilai oleh mata
Putih atau hitamnya warna dinilai oleh mata,

KeBENARan di mahkamah dinilai daripada seorang saksi yang melihat pada kejadian, bukan daripada seribu saksi yang melihat pada keikhlasan.

Oleh itu, insan yang tak seberapa ini menasihati diri, berhati-hatilah dengan apa yang kelihatan. Orang melihat tidak seperti apa yang kita lihat dan apa yang kita lihat itu tidak semestinya BENAR.

Yang pastinya…….
Niatlah dengan niat yang BETUL,
Bermatlamatlah dengan matlamat yang BETUL,
Mulalah dengan langkah yang BETUL,
Menangislah di bahu yang BETUL,
Ketawalah bersama kawan yang BETUL,
Nasihatilah dengan nasihat yang BETUL,
Beradalah di tempat yang BETUL,
Carilah waktu yang BETUL,
Berpegang teguhlah pada hukum yang BETUL,
Ingatlah bahawa
Al Quran itu BENAR
Islam itu BENAR dan
Allah itu BENAR

Insya Allah akan menghasilkan natijah yang BETUL

Kerana jika selain dari itu akan sentiasa ada syaitan-syaitan yang sentiasa berlegar-legar di sekeliling kita untuk memberikan bisikan dan pujukan supaya kita sentiasa menciptakan alasan untuk memBENARkan yang BETUL-BETUL salah.

Dari aku yang BETUL-BETUL takut…..

No comments: