Thursday, November 25, 2010

Pilih-pilih atau semua?

Hari ini merupakan hari yang ke empat dalam misi perjalanan membawa keluarga bercuti. Betullah seperti yang diperkatakan, bercuti bersama mempereratkan lagi hubungan kasih sayang dalam keluarga. Apa tidaknya, pada masa inilah masa yang berkualiti dapat diluangkan bersama, tidur sama-sama, makan sama-sama, berada dalam kereta bersama-sama sambil sembang-sembang yang selama ini masing-masing sibuk dengan aktiviti masing-masing walaupun berada sebumbung. Yang seorang sibuk melayan internet, yang seorang sibuk melayan telefonnya, yang seorang sibuk melayan novelnya, yang seorang sibuk melayan sibuknya dan macam-macam perkara yang dilayan.

Teringat aku semasa perjalanan dari Melaka ke Port Dickson dan Nilai, kami berbincang pasal kereta dan macam-macam isu. Yang si anak lelaki memang dok puja sangat kereta sport kegemarannya, Nissan GTR, semua gambar-gambar digunting dan disimpan dalam buku skrapnya, begitu minat sekali pada kereta itu. Yang si kakak pula dok minat kereta Peugeot Coupe Cabriolet yang boleh buka bumbung, katanya cantik dan ‘cute’.

“Mama minat kereta wak segan Beetle (Volkswagon Beetle), semua warna cantik-cantik, sesuai untuk wanita”, kata si mama pula.

“Papa nanti pencen ni nak pakai mat sedih kompressor (Mercedes Compressor)”, celah si bapa pula dengan nada dan memek muka buat-buat sedih, sambil diiringi deraian ketawa anak-anak.

“Adik kereta apa-apa pun tak apa, motor pun tak apa”, balas anak perempuan yang kedua sambil tersenyum, yang sememangnya bukan peduli bab-bab kereta ni, janji ada novel untuk dibaca.

“Papa ni dahsyat juga, boleh kenal semua kereta la.., macam mana Papa boleh kenal ya, kereta melintas sahaja Papa sebut nama kereta dengan betul”, tanya si anak lelaki.

“Sebabnya satu sahaja, kereta yang dibeli mesti beli sebuah penuh, bukan boleh pilih separuh-separuh, pilih yang kita suka sahaja tetapi tak ambil yang kita tak suka. Contohnya kita tak mahu ambil bonet belakang sebab tak berkenan, jadi cantik tak kereta yang tak ada bonet belakang, jadi huru-hara dan tak kenal kereta apa lah”, balas ku.

“Sama lah kalau Amat nak kahwin esok, Amat suka kat perempuan itu tetapi tak berkenan kat hidungnya, boleh tak Amat suruh orang potong hidung dia. Kena terima semuanya lah”, sambung ku lagi memberi satu analogi supaya anak-anakku lebih faham.

“Cerita bab kahwin dan hidung, Mama pun ada saudara Mama, dulu dia kahwin senyap-senyap dengan seseorang sebab keluarga saudara Mama tak setuju. Keluarga Mama yang itu memang sombong, mementingkan keturunan dan rupa paras, sebab itu mereka menentang perkahwinan itu. Mereka pilih-pilih, mereka kata orang Melayu hidung tak mancung dan mereka pula keturunan mulia, keturunan Syed-syed dan Syarifah-syarifah, keturunan nabi dan ilmu agama tinggi. Akan memalukan keluarga di mata kelompok masyarakat mereka”, sampuk si Mama.

“Lepas itu, apa jadi Mama”, nampak macam menarik cerita itu sehingga anak-anak bertanya, ingin diteruskan cerita.

“Mereka dipisahkan secara paksa, saudara Mama yang perempuan itu dihantar balik ke Madinah, tinggal bersama emak saudaranya. Sampai sekarang pun masih berada di sana dan kadang-kadang datang ke Kota Bharu untuk bercuti, sudah uzur dah dan tak pernah kahwin-kahwin selepas itu”.

“Kesian ya Mama, macam cerita filem P Ramlee je”.

“Kita panggil Cinta Madinah lah kot, Mama ya”.

Masing-masing memberi respon.

Apa pun pendapat mereka, dalam hati kecilku berkata, malang sungguh ada manusia yang dikatakan Islamnya sempurna tetapi sanggup melakukan sesuatu yang kejam semata-mata berfikir tentang apa masyarakat kata. Mengambil Islam dengan pilih-pilih yang mereka mahu sahaja, bukan semua. Sebab itu kehidupan menjadi huru-hara. Islam itu Salam, Sejahtera, Damai, Bahagia jika Al Quran yang sudah pasti segala yang di dalamnya benar, diambil semuanya tanpa ragu untuk dijadikan panduan. Manusia tidak boleh dengan angkuh mengakui pendapat dirinya atau pendapat masyarakat boleh menentukan Salam, Sejahtera, Damai atau Bahagianya kehidupan, kerana manusia tetap manusia, ada kepentingan sendiri, tersirat dalam tersurat.

Teringat aku pada satu firman Allah, mafhumnya begini:
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu dalam Islam sepenuhnya”.

Ada pula satu blog sahabat yang baru ku baca, bertanya-tanya tentang persoalan;
engkau dan aku islam?
dimana iman kita YG SEBENARNYA?

Mungkin jawapan yang aku boleh berikan ialah:
Ingatlah firmah Allah tadi, jangan pilih-pilih.

Aku?..... tiada pilihan........

No comments: