Wednesday, November 17, 2010

Bicara Di Hari Raya

Satu ketika seorang hamba Allah sedang bersedih dan pilu tentang satu perkara yang dia anggap menimpa dirinya. Walaupun itu sekadar andaian namun ada menunjukkan tanda. Kata ku padanya, andaian kita terhadap orang lain atau andaian orang lain terhadap kita itu tidak penting tetapi yang pastinya andaian kita terhadap orang lain itu mestinya dimulakan dengan andaian yang baik kerana Allah menghendaki begitu.

Rasa malu juga diri ini hendak mengeluarkan kata, kerana dek banyak kelemahan diri dan ceteknya ilmu. Apa pun aggaplah ini sebagai ujian Allah, ianya datang dalam pelbagai bentuk. Sebab kepada ujian itu adalah tidak lain melainkan kerana limpahan kasih dan sayangnya Allah kepada kita maka Allah menurunkan ujian itu. Watak-watak yang selain daripada kita dalam ujian itu tidak penting dan dengan apa jua alasan pun tidak boleh disalahkan kerana memang Allah menjadikan watak-watak tersebut sebagai penyebab walaupun kita yang menjadi akibat. Namun jika rasa syukur kita kepada Allah dengan sendirinya akan menjadikan kita redha pada ujian yang kita hadapi dan menjadikan kita rasa berterima kasih kepada watak-watak tersebut kerana sebenarnya Allah ingin mengurniakan kebaikan kepada kita selepas itu.

Lupakanlah istilah-istilah rekaan manusia sama ada fitnah, hasad dengki, khianat, umpatan dan sebagainya kerana semua itu hanyalah istilah yang akan menyebabkan sengketa, dendam, sedih, putus silaturrahim dan titik hitam dalam hati manusia yang akan dipancarkan pada seri wajah kita. Terimalah dengan penuh kemaafan dan rasa kasih sayang.
Terus bermuhasabah dirilah dahulu walau dalam deraian air mata dan penuh sebak, mulailah dengan diri kita dan dengan rendah hati memohon kepada Allah, supaya dikurniakan petunjuk dan kesabaran, insya Allah hati menjadi tenang dan insaf.

Allah memberi janji,

Ingatlah padaKu nescaya Aku ingat pada mu.

Hanya dengan mengingati Ku hati kamu menjadi tenang.

Sekadar itu sahaja buat diriku sendiri dan juga hamba-hamba Allah yang ku sayangi, yang ku kasihi dan yang ku cintai yang boleh ku bicarakan di pagi hari yang penuh limpahan berkat dan hari yang menuntut kebersihan hati dan kemaafan ini. Selamat Hari Raya Aidil Adha, maaf zahir dan batin. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Kerana kerdilnya jiwa ku dan lemahnya iman, seringku terisak-isak di hadapanMu…

No comments: