Friday, December 31, 2010

duit, ibu, duit ibu

Tuhan sebenarnya menguji manusia dengan berbagai bentuk ujian. Salah satu yang paling banyak dalam banyak-banyak ujian ialah harta atau duit. Aku ada cerita benar yang menjadi pengajaran kepada ku dan harap menjadi pedoman juga pada yang lain.

1. Beberapa minggu yang lalu aku pulang ke Kota Bharu kerana menyambut kepulangan sepupu ku pulang dari Tanah Suci, dua orang sepupu lelaki. Mereka pergi berdua beradik (3 orang sebenarnya sebab yang seorang bawa isteri bersama), yang si adik, rezekinya dikurniakan Allah lebih sedikit dari si abang, dengan murah hati membiayai si abangnya. Mereka pergi dengan pakej swasta, mahal jugalah. Alhamdulillah itulah yang dikatakan adik beradik, tidak kedekut dan lokek dengan harta, sanggup dibahagi-bahagikan dengan yang lebih memerlukan walaupun dia sendiri bukannya kaya, manusia biasa sahaja, makan gaji sahaja, non-graduate pula tu, bukannya “ber uang” (pinjam bahasa Indonesia, hehehe).

Al-kisahnya, yang si abang ini memang selalu diuji dengan wang, pertama sekali berlaku beberapa tahun lalu bila mana semasa dia hendak mengambil wang melalui mesin ATM, tekan-tekan sahaja ATM, tengok-tengok banyaknya kosong. Tenyeh punya tenyeh mata, pun dok nampak banyak tu juga angka kosongnya, maklumlah semua pun tahu kita sendiri pun yang selalu dok nampak angka dalam mesin ATM kita tu angka kosong tu sikit sahaja, sebiji dua sahaja. Ada ketikanya angka kosong tu pun tidak ada langsung (apatu?.. yang disebut dalam matematik, rumah ‘sa’, hehehe..). Congak punya congak seingatnya ada RM200.00 sahaja baki dalam akaunnya, tetapi tertera RM60,200.00, bulat mata kawan tu jadinya.

Kerana ingin tahu dia cuba keluarkan RM2000.00. Grekkkkkkkkk……..mesin tu berbunyi (dok mengira duitlah kot) dan tup tup keluar RM2000. Terus sahaja dia menelefon aku.

“Abang Min, bla bla bla…… Habih tu nak buat lagu mano ya?”, gitu lah katanya pada ku.

“Gini Man, mudoh cerito, masuk jupo pegawa bank, tanyo dio”, kata ku tetapi dia kata nak tengok dulu macam mana, bukan salah dia, katanya.

Dipendekkan cerita, sebulan kemudian dia dapat panggilan telefon dari pengurus bank dari Alor Setar menyatakan duit itu sebenarnya tersalah masuk ke akaunnya, duit tu diserahkan balik dan pengurus tersebut minta dia pindahkan RM59,600 sahaja, RM400 tu hadiah peribadi pengurus tersebut sebagai tanda terima kasih kerana ‘menjaga keselamatan’ duit tersebut. Memang pun, kerja dia sebagai pengawal keselamatan di salah sebuah pasaraya di situ.

Yang kedua ialah seperti yang dikatakan tadi, dibiayai sepenuhnya ke Tanah Suci, yang itu ku anggap bukan sebagai ujian padanya tetapi sebagai anugerah, tetapi ujian kepada adiknya (kesanggupan membiaya, bukan hutang ni...), RM 20 ribu lebih tu banyak tu. Alhamdulillah, aku bangga mempunyai adik beradik yang budiman begitu.

Ujian yang seterusya, ialah semasa dia berada di Tanah Suci. Semasa hendak duduk dalam bas, diangkatnya satu sampul surat atas kerusinya. Nampaknya berisi, lalu dibuka sampulnya, nah…duit, tersusun elok sahaja. Mesti itu duit jemaah yang menaiki bas sebelumnya yang tertinggal.
“Ehhhh…, eeeee….., aiii………., kang…., kang……., “ gitulah kata hatinya, banyak juga ‘A’nya, banyak juga ‘E’nya dan banyak juga ‘I’nya, maklumlah RM10,000.00, bukan sedikit tu.

Namun diberitahu kepada syeikh hajinya dan meninggalkan pesan jika ada siapa yang kehilangan supaya menuntut wang itu darinya. Alhamdulillah, beberapa hari kemudian datanglah hamba Allah yang menjadi penyebab kepada ujian Tuhan itu datang menuntut wangnya darinya dengan penuh gembira dan syukur.

2. Yang ini pula kisah mengenai kenalanku (beberapa orang, lebih dari dua oranglah tu). Ada yang “bussinessman” dan ada juga yang ‘makan gaji’. Tetapi mereka ini mempunyai ujian yang sama iaitu ‘pinjam duit ibu’, ada yang puluhan ribu dan ada yang ribu-ribu sahaja. Ibu kita ni bukannya boleh tengok anak-anaknya dalam kesusahan, pujuk-pujuk sikit, berpisahlah dia dengan uangnya (pinjam bahasa Indonesia pula, hehehe) bila diberi janji manis untuk melunaskan bila dapat balik modal, gitulah gamaknya.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun berlalu…..

Yang dok berniaga nampak makin senang, yang makan gaji pun gaji makin naik, masing-masing bertukar perabot, masing-masing bertukar kereta, masing-masing ber”makan angin” tetapi si ibu masih macam dulu lagi, perabot macam dulu, kereta pun macam dulu (tiada kereta pun) dan bukan ber’makan angin’ tetapi ber’makan hati’ menunggu kembalinya ‘barang’ yang berpisah darinya itu. Nak diminta pun gitulah, anak…..

Dipendekkan cerita, sekarang ini si anak-anak (bukan budak-budak maksudnya) ni nampaknya semakin lama semakin ‘susah’, berbagai musibah datang bertimpa-timpa, penyakit dan kehilangan, untung sedikit, yang ruginya dan hutangnya pula semakin banyak dan tak berbayar pulalah jadinya… Yang pastinya bukannya disebabkan oleh doa ibu tetapi ingatan dari Tuhan kerana limpahan kasih sayangNya supaya sedar, ku kira.

3. Yang ini pula kisah orang yang sangat ku kenali, katanya penutup tahun ini dia diuji dengan satu ujian yang sangat berat, kemuncak stres dalam kehidupannya yang melibatkan kewangan. Pada masa itulah dia kehilangan kawan karibnya, kerana tidak dapat menolong memberi dana diminta di saat hidup mati perniagaannya, katanya. Ada insan kesayangannya pula yang berkecil hati, janji untuk memberi modal perniagaannya tidak dapat dipenuhi, kerja dah berhenti, dah letak jawatan katanya. Beberapa perancangan yang gagal, implikasi kerugian yang yang besar jika ‘dateline’ di bulan Disember lalu tidak dapat dipenuhi dan keuntungan yang lumayan yang terpaksa terlepas. Semua itu gara-gara dia menolong ibunya yang sedang tersepit dalam satu urusniaga yang tidak dirancang. Mengapa semuanya datang meminta darinya, banyak pula tu, mengapa ianya berlaku ‘serentak’, semua itu berlaku dengan kronologi yang begitu tersusun rapi bagai ada satu ‘tangan’ yang merancangnya menyebabkan ianya begitu perit, tidur bangunnya dan makan minumnya terganggu, mungkin itulah yang dinamakan ujian.

Alhamdulillah, awal tahun 2011 ini, tak diduga masalah tersebut dapat diselesaikan berperingkat-peringkat, pertengahan Januari sepenuhnya, bahkan dapat “offer” projek baru, katanya, Alhamdulillah. Dia sedar semua itu adalah berkat doa seseorang, siapa ya? Siapa?.........


Aku pula bagaimana ya, antara duit, duit ibu, ibu duit? Tak ku kisah semuanya, yang pastinya… sayang ibu, you are everything to me….

Monday, December 20, 2010

BETUL-BETUL BENAR

Sepanjang perjalananku pada masa cuti sekolah ini, banyaklah juga masjid dan surau yang ku kunjungi.

Emmmm……….. macam-macam gelagat manusia yang ku lihat di situ… Yang nampak kaya, yang nampak miskin, yang nampak warak, yang nampak kurang warak, yang solat berkepala bogel, yang berkopiah, yang bersongkok, yang berserban besar, yang berserban tok alim, yang solat nampak sempurna, yang solat macam budak darjah 3, yang pakai jubah, yang pakai kain pelikat, yang pakai seluar ketat baju masuk dalam (“masa rukuk nampak punggung macam kuda”, bukan aku yang kata tetapi ‘statement’ seorang guru yang memberi satu kuliah di sebuah masjid ). Selepas solat ada yang terus berlalu, ada yang bersalam memandang wajah kita, ada yang menggenggam tangan kita dengan erat, ada yang bersalam dengan wajah yang manis penuh ukhuwah (entah betul ke ejaan ku ini, maklumlah bukan pandai Arab), ada pula yang bersalam mencuka…..

Itulah yang dapat dilihat dengan mata, tahap mana kualiti ibadat, tiada siapa yang boleh menilai melainkan Allah jua. Manusia menilai daripada yang kelihatan di mata namun keikhlasan itu dilihat Tuhan, kerana itu manusia buta melihat keikhlasan dengan mata. Hanya Tuhan yang Maha Melihat, oleh itu apa yang dilihat kita belum pastinya BENAR dan BETUL.

Condong atau tegak bangunan dinilai oleh mata,
Cantik atau buruk satu lukisan dinilai oleh mata,
Terang atau gelap alam dinilai oleh mata,
Suka atau duka pada wajah dinilai oleh mata,
Kecil atau besar bungkusan dinilai oleh mata,
Kaya atau miskin manusia dinilai oleh mata
Jauh atau dekat jarak dinilai oleh mata,
Tinggi atau rendah gunung dinilai oleh mata
Putih atau hitamnya warna dinilai oleh mata,

KeBENARan di mahkamah dinilai daripada seorang saksi yang melihat pada kejadian, bukan daripada seribu saksi yang melihat pada keikhlasan.

Oleh itu, insan yang tak seberapa ini menasihati diri, berhati-hatilah dengan apa yang kelihatan. Orang melihat tidak seperti apa yang kita lihat dan apa yang kita lihat itu tidak semestinya BENAR.

Yang pastinya…….
Niatlah dengan niat yang BETUL,
Bermatlamatlah dengan matlamat yang BETUL,
Mulalah dengan langkah yang BETUL,
Menangislah di bahu yang BETUL,
Ketawalah bersama kawan yang BETUL,
Nasihatilah dengan nasihat yang BETUL,
Beradalah di tempat yang BETUL,
Carilah waktu yang BETUL,
Berpegang teguhlah pada hukum yang BETUL,
Ingatlah bahawa
Al Quran itu BENAR
Islam itu BENAR dan
Allah itu BENAR

Insya Allah akan menghasilkan natijah yang BETUL

Kerana jika selain dari itu akan sentiasa ada syaitan-syaitan yang sentiasa berlegar-legar di sekeliling kita untuk memberikan bisikan dan pujukan supaya kita sentiasa menciptakan alasan untuk memBENARkan yang BETUL-BETUL salah.

Dari aku yang BETUL-BETUL takut…..

Tuesday, November 30, 2010

4 days.....

Adik ku sekeluarga dan bonda tersayang dari Kota Bharu datang bercuti di rumahku di Bandar Baharu, gembira hati ini tiada dapat digambarkan kerana adik ku yang seorang ini memang cukup susah nak keluar dari Kelantan untuk bercuti.

Hari 1:
Banyak perkaralah yang diperkatakan ketika dok bersembang beramai-ramai selepas makan malam, antaranya ialah tentang rumah yang sebelum ini aku telah memperuntukkan sejumlah wang untuk membeli daripadanya, walaupun pada hakikatnya rumah itu aku sudah hilang minat untuk membelinya pada ketika ini, entahlah… macam mana nak ku putuskan, sudah janji .
Antara yang menarik perhatian ku juga ialah tentang “perniagaan Pokke @Pokko”. Aku memang berat nak percaya, begitu juga adik ku ini. Tetapi katanya dia melihat bukti beberapa orang yang berjaya dapat ratusan ribu dan mengenali secara dekat beberapa orang ejen yang berurusan membeli cicak pokke tersebut untuk dihantar ke luar negara, janji ada barang, bayaran akan dibuat. Wallahualam, susah aku nak percaya.

Hari 2:
Antara topik pada malam ini ialah mengenai kisah supupu-sepupuku di Kota Bharu. Bayaran sudah dibuat tetapi janji nak pindah masih bertangghuh-tangguh lagi, semua sepupuku sebelah yang satu lagi jadi pening kepala. Sebabnya, bapanya menyatakan arwah nenek mereka berjanji untuk menyerahkan kepada mereka tetapi tidak ditunaikan semasa hidup, dan berbagai-bagai lagi kisah ataupun “alasan”. Semua itu tidak dapat dipastikan kerana tiada hitam putihnya, hanya sebagai andaian dan kononnya sudah menjadi janji, Wallahualam, Allah jua yang mengetahui. Aku nak mereka datang bawa cerita yang “enjoy-enjoy’ sahaja,jadi aku hanya angguk-angguk dan senyum sahaja, tak tahu nak cakap apa, no komen.

“Abang Min tolong selesaikanlah masalah mereka, dulu Abang Min dapat selesaikan kemelut yang pernah melanda mereka. Abang Min suruh salah seorang pergi minta maaf ke, atau macam mana sehingga mereka saling bermaafan dah? Kami rasa seronok setelah sekian lama melihat mereka bertahun-tahun tidak bertegur sapa”, pohon adikku agar kemelut itu berakhir.

“Abang Min tak paksa dan tak suruh pun, hanya Abang Min minta mereka ingat, tidak rugi jika sesiapa yang memulakan dahulu memohon maaf dan memberi kemaafan, itu sahaja”, balas ku menceritakan kisah yang sebenarnya berlaku.

Walau bagaimana pun, janji ku kali ini, sebagai “abang sulung” akan ku cuba, kerana apa jua kemelut yang melanda jika masing-masing ingat Tuhan itu BENAR, ingat Al Quran itu BENAR, ingat hidup sesudah mati itu BENAR, insya Allah akan membawa natijah yang baik.

Hari 3
Menunaikan janji ku untuk membawa mereka makan-makan dan berjalan-jalan di Pulau Mutiara. Sehari suntuk di sana dan pada malamnya terus bawa balik ke Parit Buntar, makan char koe tiaw, seperti dijanjikan. Tiada sembang-sembang lagi malam itu kerana masing-masing keletihan dan terus tertidur.

Hari 4
Hari ini aku berjanji untuk membawa mereka pulang ke Kota Bharu dengan selamat dan penuh dengan kenangan manis, Insya Allah. Itu janji manisku.

Berpegang dengan janji Allah, tentu selamat dunia akhirat…….

Thursday, November 25, 2010

Pilih-pilih atau semua?

Hari ini merupakan hari yang ke empat dalam misi perjalanan membawa keluarga bercuti. Betullah seperti yang diperkatakan, bercuti bersama mempereratkan lagi hubungan kasih sayang dalam keluarga. Apa tidaknya, pada masa inilah masa yang berkualiti dapat diluangkan bersama, tidur sama-sama, makan sama-sama, berada dalam kereta bersama-sama sambil sembang-sembang yang selama ini masing-masing sibuk dengan aktiviti masing-masing walaupun berada sebumbung. Yang seorang sibuk melayan internet, yang seorang sibuk melayan telefonnya, yang seorang sibuk melayan novelnya, yang seorang sibuk melayan sibuknya dan macam-macam perkara yang dilayan.

Teringat aku semasa perjalanan dari Melaka ke Port Dickson dan Nilai, kami berbincang pasal kereta dan macam-macam isu. Yang si anak lelaki memang dok puja sangat kereta sport kegemarannya, Nissan GTR, semua gambar-gambar digunting dan disimpan dalam buku skrapnya, begitu minat sekali pada kereta itu. Yang si kakak pula dok minat kereta Peugeot Coupe Cabriolet yang boleh buka bumbung, katanya cantik dan ‘cute’.

“Mama minat kereta wak segan Beetle (Volkswagon Beetle), semua warna cantik-cantik, sesuai untuk wanita”, kata si mama pula.

“Papa nanti pencen ni nak pakai mat sedih kompressor (Mercedes Compressor)”, celah si bapa pula dengan nada dan memek muka buat-buat sedih, sambil diiringi deraian ketawa anak-anak.

“Adik kereta apa-apa pun tak apa, motor pun tak apa”, balas anak perempuan yang kedua sambil tersenyum, yang sememangnya bukan peduli bab-bab kereta ni, janji ada novel untuk dibaca.

“Papa ni dahsyat juga, boleh kenal semua kereta la.., macam mana Papa boleh kenal ya, kereta melintas sahaja Papa sebut nama kereta dengan betul”, tanya si anak lelaki.

“Sebabnya satu sahaja, kereta yang dibeli mesti beli sebuah penuh, bukan boleh pilih separuh-separuh, pilih yang kita suka sahaja tetapi tak ambil yang kita tak suka. Contohnya kita tak mahu ambil bonet belakang sebab tak berkenan, jadi cantik tak kereta yang tak ada bonet belakang, jadi huru-hara dan tak kenal kereta apa lah”, balas ku.

“Sama lah kalau Amat nak kahwin esok, Amat suka kat perempuan itu tetapi tak berkenan kat hidungnya, boleh tak Amat suruh orang potong hidung dia. Kena terima semuanya lah”, sambung ku lagi memberi satu analogi supaya anak-anakku lebih faham.

“Cerita bab kahwin dan hidung, Mama pun ada saudara Mama, dulu dia kahwin senyap-senyap dengan seseorang sebab keluarga saudara Mama tak setuju. Keluarga Mama yang itu memang sombong, mementingkan keturunan dan rupa paras, sebab itu mereka menentang perkahwinan itu. Mereka pilih-pilih, mereka kata orang Melayu hidung tak mancung dan mereka pula keturunan mulia, keturunan Syed-syed dan Syarifah-syarifah, keturunan nabi dan ilmu agama tinggi. Akan memalukan keluarga di mata kelompok masyarakat mereka”, sampuk si Mama.

“Lepas itu, apa jadi Mama”, nampak macam menarik cerita itu sehingga anak-anak bertanya, ingin diteruskan cerita.

“Mereka dipisahkan secara paksa, saudara Mama yang perempuan itu dihantar balik ke Madinah, tinggal bersama emak saudaranya. Sampai sekarang pun masih berada di sana dan kadang-kadang datang ke Kota Bharu untuk bercuti, sudah uzur dah dan tak pernah kahwin-kahwin selepas itu”.

“Kesian ya Mama, macam cerita filem P Ramlee je”.

“Kita panggil Cinta Madinah lah kot, Mama ya”.

Masing-masing memberi respon.

Apa pun pendapat mereka, dalam hati kecilku berkata, malang sungguh ada manusia yang dikatakan Islamnya sempurna tetapi sanggup melakukan sesuatu yang kejam semata-mata berfikir tentang apa masyarakat kata. Mengambil Islam dengan pilih-pilih yang mereka mahu sahaja, bukan semua. Sebab itu kehidupan menjadi huru-hara. Islam itu Salam, Sejahtera, Damai, Bahagia jika Al Quran yang sudah pasti segala yang di dalamnya benar, diambil semuanya tanpa ragu untuk dijadikan panduan. Manusia tidak boleh dengan angkuh mengakui pendapat dirinya atau pendapat masyarakat boleh menentukan Salam, Sejahtera, Damai atau Bahagianya kehidupan, kerana manusia tetap manusia, ada kepentingan sendiri, tersirat dalam tersurat.

Teringat aku pada satu firman Allah, mafhumnya begini:
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu dalam Islam sepenuhnya”.

Ada pula satu blog sahabat yang baru ku baca, bertanya-tanya tentang persoalan;
engkau dan aku islam?
dimana iman kita YG SEBENARNYA?

Mungkin jawapan yang aku boleh berikan ialah:
Ingatlah firmah Allah tadi, jangan pilih-pilih.

Aku?..... tiada pilihan........

Tuesday, November 23, 2010

Takkan ku Biarkan......

Satu malam dalam perjalanan balik ke rumah dari Langkawi setelah bercuti bersama keluarga, sepanjang masa memandu di Lebuhraya aku memasang radio stesen Klasik Nasional untuk menghilangkan kesyunyian. Tersentuh aku mendengar satu lagu ini yang dimainkan oleh juruhebah, lagu yang sama tetapi dimainkan dalam berbagai versi dan dinyanyikan oleh beberapa penyanyi mengikut zaman masing-masing seperti Allahyarham Abdullah Chik, Emilia Contessa dan beberapa penyanyi lain yang tidak ku ingat nama mereka. Semuanya sedap-sedap, penuh makna, meruntun jiwa dan menyentuh kalbu. Begitu popular sekali lagu itu dan mungkin menggambarkan keadaan adanya jiwa yang boleh diibaratkan terkurung dalam sangkar di dalam kehidupan sebenar. Lebih kurang begini liriknya:

Wahai kau burung dalam sangkar,
Sungguh nasib mu malang benar,
Tak seorang pun ambil tahu,
Duka dan lara dihatimu

Wahai kau burung dalam sangkar,
Dapatkah kau menahan siksa,
Dari kekejaman dunia,
Yang tak tahu menimbang rasa

Batin mu nangis hati patah,
Riwayat tertulis penuh dengan,
Tetesan air mata

Sungguh ini satu ujian,
Tetapi hendaklah kau bersabar,
Jujurlah kepada Tuhan
Wahai kau burung dalam sangkar

Sedih sekali mendengar lagu itu, aku pun menoleh sekeliling di dalam keretaku, memerhatikan kesemuanya sedang asyik dibuai mimpi. Hatiku berkata, wahai insan-insan yang kusayangi,
takkan ku biarkan begitu, takkan ku biarkan.....

Monday, November 22, 2010

Indahnya Hukuman

Kata hukama, lahir sahaja anak Adam maka dijatuhkan hukuman oleh Allah, iaitu hukuman mati yang pastinya apabila ianya berlaku, semestinya diiringi oleh sendu dan sendan serta deraian air mata. Cuma yang indahnya hukuman Allah itu, tiada siapa yang tahu waktunya dan dengan itu masing-masing menyediakan bekal untuk hari selepas kematian. Akan tetapi selalunya anak Adam kerap kali menyalah-ertikan bahawa hamba yang tua akan mendahului yang muda dijemput Tuhan, malang sekali, walaupun mati itu tidak mengenal usia.


Ku yang sentiasa menginsafi....

Wednesday, November 17, 2010

Bicara Di Hari Raya

Satu ketika seorang hamba Allah sedang bersedih dan pilu tentang satu perkara yang dia anggap menimpa dirinya. Walaupun itu sekadar andaian namun ada menunjukkan tanda. Kata ku padanya, andaian kita terhadap orang lain atau andaian orang lain terhadap kita itu tidak penting tetapi yang pastinya andaian kita terhadap orang lain itu mestinya dimulakan dengan andaian yang baik kerana Allah menghendaki begitu.

Rasa malu juga diri ini hendak mengeluarkan kata, kerana dek banyak kelemahan diri dan ceteknya ilmu. Apa pun aggaplah ini sebagai ujian Allah, ianya datang dalam pelbagai bentuk. Sebab kepada ujian itu adalah tidak lain melainkan kerana limpahan kasih dan sayangnya Allah kepada kita maka Allah menurunkan ujian itu. Watak-watak yang selain daripada kita dalam ujian itu tidak penting dan dengan apa jua alasan pun tidak boleh disalahkan kerana memang Allah menjadikan watak-watak tersebut sebagai penyebab walaupun kita yang menjadi akibat. Namun jika rasa syukur kita kepada Allah dengan sendirinya akan menjadikan kita redha pada ujian yang kita hadapi dan menjadikan kita rasa berterima kasih kepada watak-watak tersebut kerana sebenarnya Allah ingin mengurniakan kebaikan kepada kita selepas itu.

Lupakanlah istilah-istilah rekaan manusia sama ada fitnah, hasad dengki, khianat, umpatan dan sebagainya kerana semua itu hanyalah istilah yang akan menyebabkan sengketa, dendam, sedih, putus silaturrahim dan titik hitam dalam hati manusia yang akan dipancarkan pada seri wajah kita. Terimalah dengan penuh kemaafan dan rasa kasih sayang.
Terus bermuhasabah dirilah dahulu walau dalam deraian air mata dan penuh sebak, mulailah dengan diri kita dan dengan rendah hati memohon kepada Allah, supaya dikurniakan petunjuk dan kesabaran, insya Allah hati menjadi tenang dan insaf.

Allah memberi janji,

Ingatlah padaKu nescaya Aku ingat pada mu.

Hanya dengan mengingati Ku hati kamu menjadi tenang.

Sekadar itu sahaja buat diriku sendiri dan juga hamba-hamba Allah yang ku sayangi, yang ku kasihi dan yang ku cintai yang boleh ku bicarakan di pagi hari yang penuh limpahan berkat dan hari yang menuntut kebersihan hati dan kemaafan ini. Selamat Hari Raya Aidil Adha, maaf zahir dan batin. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Kerana kerdilnya jiwa ku dan lemahnya iman, seringku terisak-isak di hadapanMu…

Friday, November 12, 2010

Satu ketika.............

Satu ketika,
Dikala itu ku menangisi diri
Walau itu cuma gurauan
Tetapi
Setelah ku tahu
Kekesalan itu rupanya nyawa menjadi ganti…
Di kala ini pula ku menangisi diri
Kini sudah ku ikrarkan di dalam hati
Itulah sahabat sejati, hingga ke mati....
Maafkan aku…

sekadar pandangan........

Aduh, rasa malas nak kemas-kemas rumah dihari minggu begini. Rasa-rasa macam nak biarkan saja masa berlalu di depan mata lalu ku buka notebook kesayanganku ini dan jenguk-jenguk tengok blog kawan-kawan kesayanganku..
Rupa-rupanya baru ku tahu mereka ini punya idea yang kreatif, luahan rasa, duka, lara dan gembira di nukil dengan penuh indah dan puitis.

Teringatku disuatu petang anak gadisku bertanya padaku,
"Papa, apa itu cinta?" Aku hanya tersenyum kerana memang ku tahu dia tahu, dan mungkinkah dia sedang dilamun cinta. Senyumnya, tuturnya, lagaknya menunjukkan tanda, kerana sememangnya cinta menampakkan jejak.



Pengertian: (my point of view)
Cinta itu ibarat bunga
Walaupun hadir dijiwa
Ia zahir
Dapat dilihat pada keindahannya
Dapat dihidu dari kewangiannya
Dapat dirasa kemanisan kerana madunya

Manifestasi: (as shown and as seen by everybody)
Tidak akan sang kumbang bertenggek…
Pada sang bunga…
Jika tidak kerana adanya madu….

Kepercayaan: (my personal belief and principle)
Sekuntum bunga
Hanya bila saja kupetik
Akan ku nikmati keindahannya
Akan ku hidu harumannya
Akan ku kecapi kemanisannya
Sepuas-puasnya…..
Sehingga ianya mekar
Di dalam hati
Selama-lamanya…

Wassalaam

Sunday, November 7, 2010

Anak Siapakah Itu??

Assalaamualaikum,
Sekian lama saya tidak menjenguk blog saya sendiri sehinggalah diminta 'urlnya' oleh seseorang, agak keberatan juga kerana tiada apa yang istimewanya dari segi pengisiannya. Terkial-kial dan tercari-cari juga dan akhirnya dapat jumpa dan boleh "sign in".
Al-kisahnya, kelmarin 6 November, anak perempuan dok merengek nak pergi Stadium Batu Kawan, nak tengok Jom Heboh, nak jalan-jalan, PMR dah lepas katanya.
"Papa handsome lah malam ni", dan entah apa-apa pujian lagi diberi pada si ayah ni. Si ayah ni dah memang masak dah dengan anak-anaknya. Kalau malamnya penuh dengan pujian, esok tu adalah agendanya......
Memang tugas mereka di hari minggu pun begitu, tetapi pada hari itu, pagi-pagi lagi mereka punyalah bagus networking, pakat kemas rumah, bersih pinggan mangkuk, lipat kain-kain, tersusun rapi dalam almari kami sekali.
Fikir-fikir kesian juga, tak pernah bawa pun mereka ke tempat begitu selama ini.
"Papa dan Mama tak pernah bawa kami tengok Jom Heboh ke, Suarasa ke, tah apa-apa lagi", rungut anak-anak kami.
"Tempat-tempat begitu bukannya bagus, lebih-lebih lagi anak dara", balas saya, yang sememangnya rimas dengan keriuhan dan 'jamn'.
"Bukannya nak pergi tengok konsert, lagi pun kami bukannya nak pergi sendiri, dengan Papa dan Mama, di sana ada macam-macam gerai, Papa alasan sahaja, kami tahu...", balas anak-anak sememangnya tahu itulah alasan yang selalu diberikan kami.
"Ok, selepas solat Zohor kita pergi", fikir-fikir kesian juga nak menghampakan hasrat mereka.
Sesampai di sana, dalam perjalanan ke gerai-gerai, kami melintasi sebuah pentas dengan muzik yang rancak sekali dan diringi dengan gelak ketawa DJ dan para penonton bersorak-sorak. Kami saling berpandangan sesama sendiri apabila terpandang di atas pentas ada sekumpulan remaja perempuan, semua bertudung, cuma berfesyen agak-agak ketat menunggu giliran melakukan aksi pertandingan gelek. Berani sungguh mereka naik ke pentas, berseronok-seronok tanpa segan dan silu melakukan aksi 'gelek gerudi' dengan diringi hilai ketawa dan diselangi sorakan penonton.
Sampai di rumah pun masih lagi tertanya-tanya soalan di dalam hati, "Anak siapakah itu?".
Moral dari kisah tadi ialah, ................