Friday, December 31, 2010

duit, ibu, duit ibu

Tuhan sebenarnya menguji manusia dengan berbagai bentuk ujian. Salah satu yang paling banyak dalam banyak-banyak ujian ialah harta atau duit. Aku ada cerita benar yang menjadi pengajaran kepada ku dan harap menjadi pedoman juga pada yang lain.

1. Beberapa minggu yang lalu aku pulang ke Kota Bharu kerana menyambut kepulangan sepupu ku pulang dari Tanah Suci, dua orang sepupu lelaki. Mereka pergi berdua beradik (3 orang sebenarnya sebab yang seorang bawa isteri bersama), yang si adik, rezekinya dikurniakan Allah lebih sedikit dari si abang, dengan murah hati membiayai si abangnya. Mereka pergi dengan pakej swasta, mahal jugalah. Alhamdulillah itulah yang dikatakan adik beradik, tidak kedekut dan lokek dengan harta, sanggup dibahagi-bahagikan dengan yang lebih memerlukan walaupun dia sendiri bukannya kaya, manusia biasa sahaja, makan gaji sahaja, non-graduate pula tu, bukannya “ber uang” (pinjam bahasa Indonesia, hehehe).

Al-kisahnya, yang si abang ini memang selalu diuji dengan wang, pertama sekali berlaku beberapa tahun lalu bila mana semasa dia hendak mengambil wang melalui mesin ATM, tekan-tekan sahaja ATM, tengok-tengok banyaknya kosong. Tenyeh punya tenyeh mata, pun dok nampak banyak tu juga angka kosongnya, maklumlah semua pun tahu kita sendiri pun yang selalu dok nampak angka dalam mesin ATM kita tu angka kosong tu sikit sahaja, sebiji dua sahaja. Ada ketikanya angka kosong tu pun tidak ada langsung (apatu?.. yang disebut dalam matematik, rumah ‘sa’, hehehe..). Congak punya congak seingatnya ada RM200.00 sahaja baki dalam akaunnya, tetapi tertera RM60,200.00, bulat mata kawan tu jadinya.

Kerana ingin tahu dia cuba keluarkan RM2000.00. Grekkkkkkkkk……..mesin tu berbunyi (dok mengira duitlah kot) dan tup tup keluar RM2000. Terus sahaja dia menelefon aku.

“Abang Min, bla bla bla…… Habih tu nak buat lagu mano ya?”, gitu lah katanya pada ku.

“Gini Man, mudoh cerito, masuk jupo pegawa bank, tanyo dio”, kata ku tetapi dia kata nak tengok dulu macam mana, bukan salah dia, katanya.

Dipendekkan cerita, sebulan kemudian dia dapat panggilan telefon dari pengurus bank dari Alor Setar menyatakan duit itu sebenarnya tersalah masuk ke akaunnya, duit tu diserahkan balik dan pengurus tersebut minta dia pindahkan RM59,600 sahaja, RM400 tu hadiah peribadi pengurus tersebut sebagai tanda terima kasih kerana ‘menjaga keselamatan’ duit tersebut. Memang pun, kerja dia sebagai pengawal keselamatan di salah sebuah pasaraya di situ.

Yang kedua ialah seperti yang dikatakan tadi, dibiayai sepenuhnya ke Tanah Suci, yang itu ku anggap bukan sebagai ujian padanya tetapi sebagai anugerah, tetapi ujian kepada adiknya (kesanggupan membiaya, bukan hutang ni...), RM 20 ribu lebih tu banyak tu. Alhamdulillah, aku bangga mempunyai adik beradik yang budiman begitu.

Ujian yang seterusya, ialah semasa dia berada di Tanah Suci. Semasa hendak duduk dalam bas, diangkatnya satu sampul surat atas kerusinya. Nampaknya berisi, lalu dibuka sampulnya, nah…duit, tersusun elok sahaja. Mesti itu duit jemaah yang menaiki bas sebelumnya yang tertinggal.
“Ehhhh…, eeeee….., aiii………., kang…., kang……., “ gitulah kata hatinya, banyak juga ‘A’nya, banyak juga ‘E’nya dan banyak juga ‘I’nya, maklumlah RM10,000.00, bukan sedikit tu.

Namun diberitahu kepada syeikh hajinya dan meninggalkan pesan jika ada siapa yang kehilangan supaya menuntut wang itu darinya. Alhamdulillah, beberapa hari kemudian datanglah hamba Allah yang menjadi penyebab kepada ujian Tuhan itu datang menuntut wangnya darinya dengan penuh gembira dan syukur.

2. Yang ini pula kisah mengenai kenalanku (beberapa orang, lebih dari dua oranglah tu). Ada yang “bussinessman” dan ada juga yang ‘makan gaji’. Tetapi mereka ini mempunyai ujian yang sama iaitu ‘pinjam duit ibu’, ada yang puluhan ribu dan ada yang ribu-ribu sahaja. Ibu kita ni bukannya boleh tengok anak-anaknya dalam kesusahan, pujuk-pujuk sikit, berpisahlah dia dengan uangnya (pinjam bahasa Indonesia pula, hehehe) bila diberi janji manis untuk melunaskan bila dapat balik modal, gitulah gamaknya.

Hari berganti hari, minggu berganti minggu, bulan berganti bulan dan tahun berganti tahun berlalu…..

Yang dok berniaga nampak makin senang, yang makan gaji pun gaji makin naik, masing-masing bertukar perabot, masing-masing bertukar kereta, masing-masing ber”makan angin” tetapi si ibu masih macam dulu lagi, perabot macam dulu, kereta pun macam dulu (tiada kereta pun) dan bukan ber’makan angin’ tetapi ber’makan hati’ menunggu kembalinya ‘barang’ yang berpisah darinya itu. Nak diminta pun gitulah, anak…..

Dipendekkan cerita, sekarang ini si anak-anak (bukan budak-budak maksudnya) ni nampaknya semakin lama semakin ‘susah’, berbagai musibah datang bertimpa-timpa, penyakit dan kehilangan, untung sedikit, yang ruginya dan hutangnya pula semakin banyak dan tak berbayar pulalah jadinya… Yang pastinya bukannya disebabkan oleh doa ibu tetapi ingatan dari Tuhan kerana limpahan kasih sayangNya supaya sedar, ku kira.

3. Yang ini pula kisah orang yang sangat ku kenali, katanya penutup tahun ini dia diuji dengan satu ujian yang sangat berat, kemuncak stres dalam kehidupannya yang melibatkan kewangan. Pada masa itulah dia kehilangan kawan karibnya, kerana tidak dapat menolong memberi dana diminta di saat hidup mati perniagaannya, katanya. Ada insan kesayangannya pula yang berkecil hati, janji untuk memberi modal perniagaannya tidak dapat dipenuhi, kerja dah berhenti, dah letak jawatan katanya. Beberapa perancangan yang gagal, implikasi kerugian yang yang besar jika ‘dateline’ di bulan Disember lalu tidak dapat dipenuhi dan keuntungan yang lumayan yang terpaksa terlepas. Semua itu gara-gara dia menolong ibunya yang sedang tersepit dalam satu urusniaga yang tidak dirancang. Mengapa semuanya datang meminta darinya, banyak pula tu, mengapa ianya berlaku ‘serentak’, semua itu berlaku dengan kronologi yang begitu tersusun rapi bagai ada satu ‘tangan’ yang merancangnya menyebabkan ianya begitu perit, tidur bangunnya dan makan minumnya terganggu, mungkin itulah yang dinamakan ujian.

Alhamdulillah, awal tahun 2011 ini, tak diduga masalah tersebut dapat diselesaikan berperingkat-peringkat, pertengahan Januari sepenuhnya, bahkan dapat “offer” projek baru, katanya, Alhamdulillah. Dia sedar semua itu adalah berkat doa seseorang, siapa ya? Siapa?.........


Aku pula bagaimana ya, antara duit, duit ibu, ibu duit? Tak ku kisah semuanya, yang pastinya… sayang ibu, you are everything to me….

No comments: