Monday, November 22, 2010

Indahnya Hukuman

Kata hukama, lahir sahaja anak Adam maka dijatuhkan hukuman oleh Allah, iaitu hukuman mati yang pastinya apabila ianya berlaku, semestinya diiringi oleh sendu dan sendan serta deraian air mata. Cuma yang indahnya hukuman Allah itu, tiada siapa yang tahu waktunya dan dengan itu masing-masing menyediakan bekal untuk hari selepas kematian. Akan tetapi selalunya anak Adam kerap kali menyalah-ertikan bahawa hamba yang tua akan mendahului yang muda dijemput Tuhan, malang sekali, walaupun mati itu tidak mengenal usia.


Ku yang sentiasa menginsafi....

Wednesday, November 17, 2010

Bicara Di Hari Raya

Satu ketika seorang hamba Allah sedang bersedih dan pilu tentang satu perkara yang dia anggap menimpa dirinya. Walaupun itu sekadar andaian namun ada menunjukkan tanda. Kata ku padanya, andaian kita terhadap orang lain atau andaian orang lain terhadap kita itu tidak penting tetapi yang pastinya andaian kita terhadap orang lain itu mestinya dimulakan dengan andaian yang baik kerana Allah menghendaki begitu.

Rasa malu juga diri ini hendak mengeluarkan kata, kerana dek banyak kelemahan diri dan ceteknya ilmu. Apa pun aggaplah ini sebagai ujian Allah, ianya datang dalam pelbagai bentuk. Sebab kepada ujian itu adalah tidak lain melainkan kerana limpahan kasih dan sayangnya Allah kepada kita maka Allah menurunkan ujian itu. Watak-watak yang selain daripada kita dalam ujian itu tidak penting dan dengan apa jua alasan pun tidak boleh disalahkan kerana memang Allah menjadikan watak-watak tersebut sebagai penyebab walaupun kita yang menjadi akibat. Namun jika rasa syukur kita kepada Allah dengan sendirinya akan menjadikan kita redha pada ujian yang kita hadapi dan menjadikan kita rasa berterima kasih kepada watak-watak tersebut kerana sebenarnya Allah ingin mengurniakan kebaikan kepada kita selepas itu.

Lupakanlah istilah-istilah rekaan manusia sama ada fitnah, hasad dengki, khianat, umpatan dan sebagainya kerana semua itu hanyalah istilah yang akan menyebabkan sengketa, dendam, sedih, putus silaturrahim dan titik hitam dalam hati manusia yang akan dipancarkan pada seri wajah kita. Terimalah dengan penuh kemaafan dan rasa kasih sayang.
Terus bermuhasabah dirilah dahulu walau dalam deraian air mata dan penuh sebak, mulailah dengan diri kita dan dengan rendah hati memohon kepada Allah, supaya dikurniakan petunjuk dan kesabaran, insya Allah hati menjadi tenang dan insaf.

Allah memberi janji,

Ingatlah padaKu nescaya Aku ingat pada mu.

Hanya dengan mengingati Ku hati kamu menjadi tenang.

Sekadar itu sahaja buat diriku sendiri dan juga hamba-hamba Allah yang ku sayangi, yang ku kasihi dan yang ku cintai yang boleh ku bicarakan di pagi hari yang penuh limpahan berkat dan hari yang menuntut kebersihan hati dan kemaafan ini. Selamat Hari Raya Aidil Adha, maaf zahir dan batin. Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Kerana kerdilnya jiwa ku dan lemahnya iman, seringku terisak-isak di hadapanMu…

Friday, November 12, 2010

Satu ketika.............

Satu ketika,
Dikala itu ku menangisi diri
Walau itu cuma gurauan
Tetapi
Setelah ku tahu
Kekesalan itu rupanya nyawa menjadi ganti…
Di kala ini pula ku menangisi diri
Kini sudah ku ikrarkan di dalam hati
Itulah sahabat sejati, hingga ke mati....
Maafkan aku…

sekadar pandangan........

Aduh, rasa malas nak kemas-kemas rumah dihari minggu begini. Rasa-rasa macam nak biarkan saja masa berlalu di depan mata lalu ku buka notebook kesayanganku ini dan jenguk-jenguk tengok blog kawan-kawan kesayanganku..
Rupa-rupanya baru ku tahu mereka ini punya idea yang kreatif, luahan rasa, duka, lara dan gembira di nukil dengan penuh indah dan puitis.

Teringatku disuatu petang anak gadisku bertanya padaku,
"Papa, apa itu cinta?" Aku hanya tersenyum kerana memang ku tahu dia tahu, dan mungkinkah dia sedang dilamun cinta. Senyumnya, tuturnya, lagaknya menunjukkan tanda, kerana sememangnya cinta menampakkan jejak.



Pengertian: (my point of view)
Cinta itu ibarat bunga
Walaupun hadir dijiwa
Ia zahir
Dapat dilihat pada keindahannya
Dapat dihidu dari kewangiannya
Dapat dirasa kemanisan kerana madunya

Manifestasi: (as shown and as seen by everybody)
Tidak akan sang kumbang bertenggek…
Pada sang bunga…
Jika tidak kerana adanya madu….

Kepercayaan: (my personal belief and principle)
Sekuntum bunga
Hanya bila saja kupetik
Akan ku nikmati keindahannya
Akan ku hidu harumannya
Akan ku kecapi kemanisannya
Sepuas-puasnya…..
Sehingga ianya mekar
Di dalam hati
Selama-lamanya…

Wassalaam

Sunday, November 7, 2010

Anak Siapakah Itu??

Assalaamualaikum,
Sekian lama saya tidak menjenguk blog saya sendiri sehinggalah diminta 'urlnya' oleh seseorang, agak keberatan juga kerana tiada apa yang istimewanya dari segi pengisiannya. Terkial-kial dan tercari-cari juga dan akhirnya dapat jumpa dan boleh "sign in".
Al-kisahnya, kelmarin 6 November, anak perempuan dok merengek nak pergi Stadium Batu Kawan, nak tengok Jom Heboh, nak jalan-jalan, PMR dah lepas katanya.
"Papa handsome lah malam ni", dan entah apa-apa pujian lagi diberi pada si ayah ni. Si ayah ni dah memang masak dah dengan anak-anaknya. Kalau malamnya penuh dengan pujian, esok tu adalah agendanya......
Memang tugas mereka di hari minggu pun begitu, tetapi pada hari itu, pagi-pagi lagi mereka punyalah bagus networking, pakat kemas rumah, bersih pinggan mangkuk, lipat kain-kain, tersusun rapi dalam almari kami sekali.
Fikir-fikir kesian juga, tak pernah bawa pun mereka ke tempat begitu selama ini.
"Papa dan Mama tak pernah bawa kami tengok Jom Heboh ke, Suarasa ke, tah apa-apa lagi", rungut anak-anak kami.
"Tempat-tempat begitu bukannya bagus, lebih-lebih lagi anak dara", balas saya, yang sememangnya rimas dengan keriuhan dan 'jamn'.
"Bukannya nak pergi tengok konsert, lagi pun kami bukannya nak pergi sendiri, dengan Papa dan Mama, di sana ada macam-macam gerai, Papa alasan sahaja, kami tahu...", balas anak-anak sememangnya tahu itulah alasan yang selalu diberikan kami.
"Ok, selepas solat Zohor kita pergi", fikir-fikir kesian juga nak menghampakan hasrat mereka.
Sesampai di sana, dalam perjalanan ke gerai-gerai, kami melintasi sebuah pentas dengan muzik yang rancak sekali dan diringi dengan gelak ketawa DJ dan para penonton bersorak-sorak. Kami saling berpandangan sesama sendiri apabila terpandang di atas pentas ada sekumpulan remaja perempuan, semua bertudung, cuma berfesyen agak-agak ketat menunggu giliran melakukan aksi pertandingan gelek. Berani sungguh mereka naik ke pentas, berseronok-seronok tanpa segan dan silu melakukan aksi 'gelek gerudi' dengan diringi hilai ketawa dan diselangi sorakan penonton.
Sampai di rumah pun masih lagi tertanya-tanya soalan di dalam hati, "Anak siapakah itu?".
Moral dari kisah tadi ialah, ................